Abang tunggu
mak di syurga - kisah benar CITE NI PANJANG SIKIT Hargai & sayangi
org2 disekeliling kita sementara mereka masih bernyawa..... Kisah Benar :
"Abang,tunggu mak di syurga ya" Mak pandang jenazah abang yang
terbaring kaku. Walaupun muka sembap, perut membusung, namun mak nampak
ketenangan pada wajah abang. Mak ambil pisau. Mak potong baju-T yang tersarung
pada tubuh abang, baju terkahir yang abang pakai, Mak terpaksa potong kerana
kerana baju itu tidak muat untuk melalui perut abang yang 'buncit'. Tapi, mak
akan simpan baju itu. Mak tak cuci, sesekali boleh mak cium baju itu, sekadar
pengubat rindu di hati. Kemudian abah kendong tubuh abang ke pangkin
yang telah disediakan. Lalu abah dan mak mendikan jenazah abang. Hanya kami
berdua. Mak tak mahu orang lain. Biar tangan abah dan mak yang menjiruskan air
buat kali terakhir pada tubuh kecil abang. Mak nampak anak mata abah,
berkaca-kaca, setitis dua air matanya tumpah, mengalir di pipi, tapi
cepat-cepat abah sapu dengan lengan sasanya. "Bang, jangan menangis. Kita
selesaikan hingga ke titisan terkahir," begitulah kata mak pada abah.
Setelah abang dimandikan, mak bantu abah kapankan jenazah abang. Pun hanya kami
berdua juga. biar tangan kami saja yang memakai dan membalutkan kain terakhir
pada tubuh abang. "Kakak, jangan menangis. tak baik buat abang macam
tu!" Itu pesan mak semasa kakak-kakak mahu mengucup dahi abang buat
kali terakhir. Abah pula selepas mengucup dahi abang, cepat-cepat abah menjauh
memalingkan muka. Mak nampak air mata abah berjuntaian membasahi pipi. Dan buat
kali terakhir itu juga, mak usap dahi abang. Mak senyum, lantas kucup dahi
abang. Mak bisikkan: "Abang tunggu mak di syurga ya!" Akhirnya, wajah
abang 'ditutup'. Kami sembahyangkan abang buat kali terakhir. Ramai betul
jemaah yang turut serta. Setelah itu, kami bawa abang ke tanah perkuburan. Abah
masuk ke dalam liang lahad untuk menyambut jenazah abang. Alhamdulillah,
semua kerja dipermudahkan. Abang sudah selamat di sana. Bertubi-tubi mak terima
ucapan takziah daripada tetamu yang datang. Abang nak tahu, ada satu soalan
yang mereka tanyakan pada mak. Soalan itu asyik terngiang-ngiang di telinga
mak. Tanya mereka: "Kakak uruskan jenazah anak kandung sendiri, tapi
setitis air mata tak jatuh ke pipi? Kenapa kakak tidak menangis?" Itulah
soalan mereka. Mereka hairan kenapa mak tidak menangis, sebaliknya bibir mak
tidak lekang dengan senyuman. Kenapa mak masih mampu tersenyum di saat memangku
sekujur tubuh yang pernah berada dalam rahim mak dulu? Petang itu, mak duduk di
satu sudut di ruang tamu rumah. Mak terfikir tentang soalan mereka itu.
Mak tak tahu nak jawab macam mana. Kemudian, mak nampak sebuah diari di atas
para di sudut ruang tamu. Lantas mak capai diari kecil itu. Di dalamnya
tercatat peristiwa yang berlaku sepanjang empat tahun dua bulan mak membesarkan
abang. Mak selak helaian demi helaian paparan kertas dalam diari yang sedikit
usang itu. Aduh! Banyak sungguh memori yang tercatat di dalamnya. Membacanya
bagaikan meruntun jiwa mak kembali mengenangkan perjalanan derita abang sejak
lahir hingga menghembuskan nafas terakhir. Mata mak terpaku pada catatan
peristiwa lebih kurang tiga bulan sebelum abang pergi. Mak rasa, di sinilah
terkandung jawapan yang mak cari-cari. Jawapan untuk soalan yang mereka tanya
kenapa mak tidak menangis? Mak akan bacakan sedikit rentetan diari ini
supaya mereka tahu kenapa mak tidak menangis, sayang. Januari 2011- Perut abang
semakin membusung kerana hati membengkak. kata doktor, semua organ dalaman
abang sudah rosak,sudah 'reput'. Tak boleh diselamatkan lagi. Tidak mengapa.
Hati mak berkata, cukuplah! Tidak akan ada lagi pembedahan untuk abang. 26
Februari 2011- Hari ini ulang tahun ke-4 abang. Dua hari sebelum itu, mak
tanya, abang nak kek apa? Abang jawab, nak kek lori sampah! Hah Hah.. Tergelak
mak.Abang suka sangat melihat lori sampah yang lalu setiap pagi depan rumah.
Sebab itu abang nak kek bentuk lori sampah, Puas mak dan abah melilau sekitar
Kuala Lumpur, tapi tak jumpa kek macam tu. Tak ada yang sanggup buat kek macam
yang abang minta. Mak kecewa! Selama ini, mak tunaikan apa saja
permintaan abang, tapi kali ini mak gagal. Mak belikan kek coklat strawberi
sebagai pengganti. Dengan perut membusung, dada berombak kerana sukar bernafas,
abang masih tersenyum dan nampak ceria melayan rakan-rakan yang datang,
sama-sama menyanyikan lagu hari jadi abang. Dan ketika itu, hati mak sudah
terdetik, mungkin ini hari jadi abang yang terakhir. 7 Mac 2011- Keadaan abang
makin kritikal. Perut abang semakin besar. Abang tak mampu nak bergerak, lebih
banyak terbaring dan asyik sesak nafas. Mak tak tahan lihat keadaan abang. Mak
bawa abang ke IJN, rumah 'kedua' abang sepanjang tempoh hayat abang. Kata
doktor, tiada apa yang boleh dilakukan lagi. Abang hanya menanti waktu. mak
angguk perlahan. Mak redha. Dalam hati mak juga sudah berkata, masa
abang tidak lama lagi. Para ibu di wad tersebut asyik bertanya pada mak, macam
mana dengan abang? Mak jawab: "InsyaAllah, abang akan sihat!" Mak
terpaksa cakap begitu pada mereka, sebab mak tak mahumereka semua lemah
semangat jika mereka tahu abang sudah tiada harapan lagi. Mereka pun sama,
masing-masing bertarung dengan ujian apabila anak yang dikasihi ditimpa
penyakit. jadi biarlah jawapan yang mak beri itu kedengaran manis pada telinga
mereka. Pahitnya, biarlah mak sendiri telan. 13 Mac 2011- Hari Ahad. Mak pinta
kebenaran doktor untuk bawa abang pulang kerumah . Doktor izinkan. Biarlah
abang habiskan waktu-waktu terakhir bersama keluarga. Dan di saat-saat akhir
ini, mak mahu tunaikan apa saja permintaan abang. Di rumah, setiap hari mak
akan tanya: "Abang nak apa harini?" Mak masih ingat pada suatu pagi, abang
menjawab: "Mak, abang nak naik kereta bomba!" Mak termenung dengar
permintaan abang. Bila abah pulang ke rumah, terus mak ajak abah keluar.
Abah tanya pergi mana? Mak jawab: "Balai bomba!" Sampai di situ, mak
minta izin pegawai bomba. Mak kata, abang teringin nak merasa naik ke dalam
trak bomba. Pegawai itu garu-garu kepala, kemudiannya menggeleng-gelengkan
kepala. Belum sempat pegawai bomba itu menjawab, lantas mak tarik baju abang ke
paras dada. Separuh berbisik, mak beritahu pegawai itu: "Encik, ini anak
bongsu saya dan hanya menanti masa untuk 'pergi'! Benarkan saya tunaikan
impian terakhirnya ini!" Bila lihat perut abang yang buncit dan dada
dipenuhi kesan parut dan jahitan, pegawai itu tak tunggu lama. Terus
diacapainya kunci, dibuka pintu salah satu trak bomba itu. Dia dukung abang,
letakkan ke atas tempat duduk bahagian pemandu. Abang nampak gembiru sangat
biarpun cuma 15 minit abang di dalam trak itu. Abang tak perasan, mak palingkan
muka lima saat. Sekadar mahu mengelap titisan air mata yang mula bertakung.
Hari lain, mak tanya lagi: "Abang nak apa?" Abang jawab: "Abang
nak naik lori sampah!" Mak dukung abang, tunggu depan rumah. Bila lori
sampah lalu pagi itu menjalankan rutinnya mengutip sampah, Mak tahan lori itu.
"Encik, anak saya teringin naik lori ni. Boleh izinkan sebentar?"
Pekerja itu tertawa mendengar kata-kata mak. Kemudian, mak angkat baju
abang dan beritahu perkara sama. Berubah mimik wajah mereka. Segera mereka
angkat abang, letakkan di tempat duduk pemandu. Ada antara pekerja itu yang
memalingkan muka, tak sangup lihat abang lama-lama. Sedih agaknya. Begitulah
seterusnya. Setiap hari, mak akan tanya pertanyaan yang sama. Abang kalau nak tengok
gajah, mak bawa abang pergi zoo. Walaupun abang tak larat jalan, tak apa. Mak
dan abah tidak kisah, kami silih berganti dukung abang. Abang kata nak tengok
burung, mak bawa ke taman burung. Abang kata nak main permainan robot, mak bawa
ke kompleks beli-belah yang ada permainan seperti itu. Ke mana saja abang nak
peri,semuanya mak tunaikan! Setiap hari juga mak tanya abang nak makan
apa. Macam-macam abang teringin nak makan. Martabak, nasi paprik, milo ais,
cendol, air tebu, air bandung, rojak dan macam-macam lagi, semuanya mak
tunaikanwalaupun makanan itu abang pinta pada pukul 3.00 pagi! Apa saja yang
teringin oleh tekak abang, semua mak cari walaupun abang sekadar menjamahnya
sesudu dua. Apa saja abang pinta, kami tunaikan. Mak tahu, mak faham, masa
abang bersama mak dan abah semakin suntuk! 27 Mac 2011- Abang semakin
kritikal! Nak bercakap pun terlalu lemah, apatah lagi untuk bergerak. Mata
kuyu, hanya terbaringsambil memeluk Aina, anak patung kesayangan abang. Mak
ajak abah bawa abang ke hospital. "Kali ini kita bawa abang ke IJN, tapi
kita mungkin akan keluar dengan tubuh abang yang sudah tidak bernafas!"
Itu kata-kata mak pada abah sebelum bertolak ke IJN. Mak mahu abah bersedia dan
redha jika apa-apa berlaku. Sampai di IJN, abang terus ditempatkan di wad khas
untuk pesakit kritikal. 5 April 2011- Mak telefon sekolah asrama kakak yang
sulung di Seremban. Mak minta pelepasan daripada cikgu untuk benarkan kakak
pulang. "Adik tenat. Saya mahu kakak-kakaknya berada di sampingnya pada
saat terakhir!" Itu kata-kata mak pada cikgu dan akak diizinkan pulang
pada hari ini. Kemudian, Dr. Adura. , doktor yang sinonim merawat abang
datang melawat. Mak memang rajin bercerita dengan Dr. Adura. Kebetulan mak ceritakan
yang mak terkilantak dapat tunaikan permintaan abang mahukan kek berbentuk lori
sampah. 7 April 2011- Pagi ini Dr. Adura datang melawat abang. Kemudian Dr.
Adura beritahu ada surprise untuk abang tengah hari ini. Rupa-rupanya, tengah
hari itu datang tetamu yang juga rakan-rakan alam maya Dr. Adura membawa kek
lori yang abang mahukan sebelum ini. Ada dua kek mereka bawa. Mak tak sanka, Dr
Adura tulis di dalam blognya kisah abang dan ramai yang mahu menyediakan kek
yang abang pinta. Sekali lagi, para tetamu bersama jururawat dan doktor
menyanyikan lagu selamat ulang tahun untuk abang. Tapi abang kurang ceria,
wajah abang tampak letih dan nafas abang turun naik. 8 April 2011- Tengah hari
ini, masih ada lagi tetamu datang membawa kek berbentuk lori warna pink untuk
abang. Tapi abang sekadar lemah. Abang sekadar terbaringmerenung kek
itu. Malam itu, semasa jururawat mengambil tekanan darah abang, bacaanya
meningkat naik. Tapi hati mak dapat rasakan abang sekadar mahu meredakan
keresahan hati mak. Malam itu, hanya mak berdua dengan abang di dalam bilik.
Mak pandang sayu wajah abang yang semakin lesu dan pucat. Mak duduk di sebelah
abang, mak peluk dan usap rambut abang. Mak menangis teresak-esak bagai anak
kecil. Dalam tangis itu, mak katakan pada abang: "Mak tahu abang nak
senangkan hati mak. Abang tak perlu buat macam tu. Mak tahu abang nak pergi.
"Jangan tahan-tahan abang. Pergilah. Mak sudah sedia. Mak redha segalanya.
Mak puas dapat sempurnakan apa saja hajat yang abang pinta. Mak juga bangga
kerana Allah hadirkan abang dalam hidup mak walaupun seketika!"
Abang hanya diam, memandang mak dengan pandangan lesu. Dan ketika itu mak
menangis sepuas-puasnya. Dan mak berjanji tidak akan menangis lagi selepas itu!
Ya, mak tidak akan menangis lagi biarpun abang sudah tiada lagi di dunia Abang
pada tahun 2007. 9 April 2011- Pagi itu mak pesan pada abah agar bawa semua
anak-anak datang ke hospital. Masa abang dah dekat sangat. Mak lihat abang dah
kritikal. Wajah abang sudah tampak biru, lebam! Dada berombak, tercungap-cungap
menarik nafas. Abang dah tak mampu bercakap lagi sejak malam tadi. Makan minum
pun tak mahu. Pakul 8.00 pagi, abah dan kakak sampai. Mak suruh kak long
bacakan Yaasin di sebelah abang. Mak suruh abah baca juga, tapi bacaan abah
tersekat-sekat kerana cuba menahan tangisnya. Pukul 3.00 petang, abang makin
lesu. Lantas mak ajak abang keluar berjalan-jalan. "Abang, nak tengok
matahari tak? Jom kita turun kantin minum sambil tengok matahari!" Abang
hanya mengangguk lemah. Mak dukung abang dan kita satu keluarga turun ke
kantin. Abang mahu minum air coklat. Tapi abang hanya minum seteguk. Kemudian,
abang lentukkan kepala pada bahu mak. "Abang, tu tengok kat luar tu?
nampak taj sinar matahari tu? Cantikkan?" Mak tunjuk pada abang sinar
matahari yang kelihatan di celah-celah rintik hujan yang turun waktu itu. Abang
angkat kepala melihat ke arah matahari itu. kemudian, abang menguap.
"Abang ngantuk!" Itu kata abang dan kemudian abang terlentuk semula
pada bahu mak. Tiba-tiba jantung mak berdegup kencang. "Bang, jom
naik. Abang nak 'tidur'! Mak terus ajak abah dan kakak naik semula ke wad
walaupun mereka belum sempat jamah makanan di atas meja." Mak tahu, masa abang
sudah hampir tiba! Sampai di wad, mak baringkan abang atas katil. Dan abang
terus merintih dalam nada yang lemah: "Makkk..sakit perut..!" Dan
abang terus memanggil: "Makkkkk!". Suara abang perlahan dan amat sayu
bunyinya. Lantas mak letak tapak tangan mak atas dahi abang. "Abang, hari
ini, waktu ini, mak redhakan abang pergi. Mak halalkan segala makan minum
abang. Mak halalkan air susu mak untuk abang. Pergilah abang. Mak izinkan abang
pergi!" Mak ucapkan kata-kata itu sambil merenung jauh ke dalammata abang
yang semakin kuyu. Saat abang sedang nazak itu, mak panggil kakak-kakak
agar mengucup abang selagi abang masih bernafas. Mereka kucup pipi abang
bertalu-talu dan mula meraung dan menangis. "Kakak! kalau kamu semua nak
menangis, keluar dari bilik ini. Mak tak mahu abang dengar kamu menangis!
Jangan seksa abang dengan tangisan kamu!" Mak marah mereka buat begitu
pada abang. Mak tak mahu abang lihat kami menangisi pemergian abang. Mak tahu,
abang akan jadi lebih sedih dan berat hati untuk pergi bila melihat kami
menangis di saat akhir sakaratulmaut menjemput abang. Mak tak mahu tambahkan
lagi kesedihan abang untuk meninggalkan kami. Abah pula hanya berdiri di
penjuru bilik, meraup wajah menahan suara tangisannya. Jururawat yang ada dalam
bilik juga menangis, mak suruh jururawat keluar dan tutup tirai bilik itu. Mak
tak mahu orang luar lihat. Mak tak mahu ada orang menangis di saat abang akan
pergi. Setitis dua mengalir juga air mata mak. Tapi mak masih mampu tersenyum.
"Pergilah abang. Mak izinkan. Mak izinkan.. pergilah..!" Dan
perlahan-lahan mata abang yang layu tertutup rapat, genggaman tangan abang pada
jari mak semakin lemah dan akhirnya terlepas... Pukul 3.50 petang, akhirnya
abang meninggalkan dunia fana ini. Innalillah... Mak kucup dahi abang. Mak
bisikkan di telinga abang: "Tenanglah abang di sana. Suatu hari nanti, mak
juga pasti akan turuti jejak abang. Abang... tunggu mak di sana ya! Di
syurga!" Abang, sekarang mak dah dapat jawapanyya. Mengapa mak tidak
menangis? Pertama, abang telah di takdirkan menjadi ahli syurga yang akan
membantu mak di sana nanti. Kedua, apa saja keinginan abang semasa hayat abang
telah mak tunaikan. Tiada lagi rasa terkilan di hati mak. Ketiga, segala hutang
sebagai seorang ibu telah mak langsaikan semasa hayat abang. Mak telah sunatkan
dan buat akikah untuk abang. Keempat, mak telah menjalankan tanggungjawab
sepenuhnya, sentiasa berada di sisi abang dan menggembirakan abang setiap saat
dan waktu. Kelima, mak rasa istimewa dipilih Allah untuk mendapat anak seperti
abang. Mak jadi 'kaya' dengan kehadiran abang. Kaya kesabaran, kaya tawadhuk,
kaya keredhaan , kaya keimanan, kaya kawan, kaya ilmu, dan kaya pengetahuan.
Mak telah beri segalan-galanya melebihi 100% untuk abang. Mak telah beri yang
terbaik dan mak telah berusaha hingga ke garisan penamat. Sebab itu mak tak
perlu menangis lagi. Abang.. biarpun kini hidup mak dan abah terasa sunyi dan
kosong tanpa abang lagi... mak akan sentiasa tersenyum mengenangkan saat-saat
terindah kehadiran abang dalam hidup kami biarpun cuma sebentar. Abang dalam
kisah ini adalah adik Iqbal Fahreen Hamdan, anak bongsu daripada lima
beradik. Abang masuk hospital seawal usia dua minggu akibat menghidapi lima
jenis kompilasi jantung termasuklah kekurangan injap, jantung berlubang dan
saluran sempit. Abang telah menjalani pelbagai siri pembedahan seawal usia dua
bulan dan ada antara pembedahan seawal usai dua bulan dan ada antara pembedahannya
gagal, malah abang pernah disahkan 'mati' apabila jantungnya berhenti
berdenyut. Walaupun pada awalnya doktor menjangkakan hayat abang tidak lama
selepas lahir ke dunia, namun ternyata anak kecil ini mampu bertahan sehingga
usia empat tahun untuk meninggalkan kenangan terindah dalam hidup Jamilah (ibu)
dan Hamdan (bapa).